Free Palestine

Friday, May 9, 2008

Terbang tinggi-tinggi



Baru-baru ini Malaysian Airlines System Bhd (MAS) melancarkan 'Tambang Murah Setiap Hari' dalam usaha meningkatkan jualan syarikat penerbangan tersebut. Dato' Sri Idris Jala, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAS dalam surat yang ditandatangani beliau di sini menerangkan bahawa kadar tambang akan dikurangkan serta pihak MAS akan menyediakan 30% daripada tempat duduk sebagai tujuan program tersebut.


Hal ini mengundang reaksi pantas daripada peneraju penerbangan tambang murah AirAsia, Dato Tony Fernandes yang berkata ''AirAsia tidak ada masalah untuk bersaing dengan MAS. Sekiranya mereka mampu untuk menawarkan sejuta tiket percuma, AirAsia juga mampu berbuat demikian."


Sebagai pemerhati, saya berharap situasi ini tidak akan menjejaskan industri penerbangan tanah air. Saya khuatir sekiranya 'perang harga' atau 'perang mulut' atau apa-apa saja perang yang berlaku selalunya yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu.


MAS telah meningkatkan taraf Malaysia di mata dunia dengan perkhidmatan terbaik. Malah penggunaan kebaya juga menunjukkan usaha memperkenalkan budaya tempatan di mata dunia bermula dari saat mereka menjejakkan kaki ke dalam kapalterbang lagi. Malah penyediaan makanan seperti sate, nasi lemak dan lain-lain makanan tempatan di Golden Lounge juga harus dipuji dan dianggap usaha murni syarikat berkenaan.


AirAsia tidak kurangnya dalam memberi dimensi baru kepada industri pelancongan tanahair. Dengan tambang murah yang berpatutan, lebih ramai rakyat kelas menengah mampu melancong dalam negara terutama sekali dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak dan sebaliknya. Hal ini mampu meningkatkan pendapatan dari sektor pelancongan domestik.


Justeru itu, saya melihat usaha yang dilakukan oleh MAS amat baik namun saya berharap kedua-dua syarikat berkenaan berhati-hati agar tiada pihak yang mengalami kerugian yang teruk. Dalam suasana peningkatan harga minyak yang melampau tinggi, mereka harus mengambil kira usaha berterusan (going consern) supaya nama Malaysia mampu terbang tinggi di angkasa.



Sumber: Utusan Malaysia, website MAS.

0 comments: